Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu musuh utama di negara kita. Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya. Manakala, dadah ialah satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani, rohani, dan tingkah laku pengguna apabila digunakan. Penggunaan dadah akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan mabuk, khayal, ketagih serta gangguan tingkah laku. Akan tetapi, penagih dadah menganggap dadah sebagai satu alat yang mampu membawa perasaan gembira kepada mereka. Dengan pemikiran ini, penagih dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu, penagih dadah akan berada dalam keadaan yang susah tanpa dadah.
Bagaimanakah kita boleh mengetahui seseorang itu terlibat dalam dadah? Dari aspek fizikal, seseorang yang terlibat dalam penggunaan dadah akan sentiasa berpeluh, pening kepala, menggigil, penurunan berat badan, mata merah dan ciri-ciri lain. Dari aspek psikologi pula, penagih dadah akan sentiasa berada dalam keadaan resah dan gelisah. Emosi dan perasaan mereka akan terganggu dan menyebabkan sikap mereka berubah secara tiba-tiba. Sebagai contohnya, mereka tidak dapat tidur dengan lena, kelihatan letih, kurang selera, bercakap banyak, menghindari kawan yang tidak terlibat dalam penggunaan dadah dan mengabaikan penampilan diri. Dari aspek perlakuan pula, penagih dadah akan sentiasa ponteng kerja atau sekolah yang seterusnya menyebabkan prestasi kerja ataupun prestasi akademik mereka merosot.
Antara faktor-faktor penyalahgunaan dadah adalah termasuk pengaruh rakan sebaya. Sesungguhnya, rakan adalah individu yang paling dekat dan paling mudah untuk mempengaruhi. Bagi remaja yang ingin diterima oleh sesebuah kumpulan, mereka terpaksa mengikuti ajakan rakan-rakan sebaya. Remaja tersebut yang berbuat demikian adalah untuk melindungi diri sendiri supaya tidak dibuli serta diterima oleh kumpulan. Bagi remaja yang minat untuk cuba mengenali pelbagai aktiviti ataupun budaya baru dan tidak tahu membezakan antara gejala yang positif atau negatif, jadi mereka akan mudah terikut-ikut dengan kata dan arahan rakan sebaya tanpa bertimbang. Sikap remaja yang ingin mencuba meyebabkan mereka mudah dipengaruhi sekiranya rakan sebaya mengatakan penggunaan dadah boleh mendatangkan keseronokan.
Faktor yang seterusnya ialah kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjaga kehidupan dan kebajikan anak-anak. Akan tetapi, masyarakat kini yang bersikap materialistik seperti ibu bapa sanggup bekerja sepanjang hari sehingga mengabaikan perasaan anak-anak untuk kehidupan yang mewah. Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan aktiviti yang negatif. Sebagai contoh, remaja mudah mempercayai individu lain yang sentiasa bersama mereka walaupun individu tersebut mempunyai niat jahat. Perasaan dan emosi mereka akan menjadi tidak stabil apabila menghadapi sebarang masalah atau kesusahan. Ini adalah kerana anak-anak tiada dorongan daripada ibu bapa, remaja akan kehilangan yakin diri dan mudah melakukan kesalahan seperti ponteng sekolah dan menglibatkan diri dalam aktiviti yang negatif supaya menarik perhatian daripada ibu bapa.
Penyalahgunaan dadah yang berlebihan akan mendatangkan beberapa kesan negatif. Antara kesannya termasuk masalah kesihatan. Ini disebabkan oleh dadah merupakan sejenis bahan yang beracun. Penggunaan dadah dalam jangka masa panjang atau berlebihan dos boleh menjejaskan fungsi organ dalam badan serta membawa kepada maut. Melalui jarum suntikan, hasil-hasil racun dadah akan disuntik ke dalam sel-sel badan dan bersebar melalui darah. Hasil-hasil racun tersebut akan berkumpul dan merosakkan organ dalam badan manusia. Sekiranya hati dirosakkan, maka fungsi hati akan terjejas dan akhirnya akan menyebabkan kesihatan badan remaja berada dalam keadaan yang amat berbahaya. Selain itu, penyalahgunaan dadah juga akan merosakkan sistem paru-paru, tulang dan sistem imun. Kemautan akan berlaku apabila berlakunya kekurangan bekalan darah ke otak akan menyebabkan koma sekiranya penggunaan dadah yang melampau banyak.
Kesan yang seterusnya adalah kesan sosial. Kebanyakkan penagih yang terlibat dengan dadah tidak berminat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap kerjaya, keluarga dan masyarakat. Ini akan menyebabkan prestasi atau akademik merosot dan juga menyebabkan kehancuran dalam keluarga. Sekiranya penagih dadah tidak mendapat bekalan dadah, mereka akan mengalami ketagihan dadah, hidung berair, perut berasa sakit dan pedih. Jika perasaan tersebut tidak dapat diatasi, kemungkinan besar penagih akan bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Dengan ini, penagih akan mencuri, merompak ataupun memukul ibu bapanya semata-mata untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah. Jadi, penyalahgunaan dadah boleh meningkatkan kes-kes jenayah.
Beberapa langkah hendaklah diadakan untuk mengatasi masalah tersebut. Langkah pertama, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam menjaga serta mendidik anak-anak. Kesibukan ibu bapa dalam perkerjaan mengakibatkan anak-anak itu terbiar dan bebas dari kawalan ibu bapa. Untuk mengelakan anak-anak diri dari terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ibu bapa harus memperhatikan setiap pergerakan anak-anak mereka. dan hendaklah sentiasa mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka yang digaul adalah mempunyai kedudukan moral yang baik atau tidak. Melalui kasih sayang yang secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan antara baik dan buruk. Tambahan lagi, ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak-anak.
Di samping itu, pihak media massa juga dapat menyumbang dalam membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini. Sebagai contoh, pihak media massa boleh menyiarkan berita atau cerita yang boleh membawa keinsafan kepada remaja supaya mereka tidak melibatkan diri dalam penggunaaan dadah. Hal ini kerana yang baik kita dijadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Segala rancangan televisyen, dan bahan cetak yang mengandungi adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja perlu ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan atau diterbitkan. Selain itu, pihak media massa boleh mengajurkan kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai. Misalnya, kempen-kempen kesedaran seperti 'Kempen Anti-Dadah', 'Belia Benci Dadah' boleh dianjurkan di peringkat sekolah ataupun di kalangan masyarakat. Di samping itu, ceramah-ceramah tentang keburukan dadah juga boleh diadakan.
Kesimpulannya, usaha dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah perlulah dilaksanakan oleh semua pihak dalam masyarakat. Saya berharap semua pihak boleh bertindak secara bersama untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan hidup.
Disediakan oleh
Wong Kong May (206144)Disediakan oleh