Pada era globalisasi ini, masalah sosial merupakan sesuatu masalah yang serius dan juga sukar ditangani. Masalah sosial adalah seperti masalah sosial kanak-kanak, masalah sosial remaja, masalah kemiskinan, masalah cetak rompak dan sebagainya. Cetak rompak merupakan masalah yang semakin berleluasa di seluruh dunia. Begitu juga dengan negara kita, iaitu Malaysia. Biasanya, CD, VCD, DVD adalah sasaran utama pencetak rompak dan ia digunakan oleh hampir semua lapisan masyarakat di Malaysia. Cetak rompak bermaksud menggunakan bahan yang dilindungi undang-undang hakcipta tanpa izin, iaitu mencabuli salah satu hak eksklusif pemilik hak cipta asli, seperti hak untuk mengeluarkan semula atau menjalankan karya yang dihakcipta, atau menghasilkan karya derivatif yang berasaskan karya yang dihakcipta itu. Kegiatan cetak rompak merupakan satu kesalahan menurut Akta Hakcipta 1987.
Barang cetak rompak merupakan barang yang dihasilkan semula dan serupa dengan barang asli manakala barang peniruan merupakan barang yang serupa dengan barang asli. Tetapi barang cetak rompak dengan barang peniruan adalah berbeza. Barang peniruan adalah barang yang dijual untuk mengelirukan pembeli supaya percaya bahawa barang yang dibelinya adalah asli. Manakala barang cetak rompak adalah barang yang dijual kepada pembeli yang telah mengetahui bahawa barang yang dibeli itu bukan barang yang asli.
Terdapat pelbagai cara dimana hasil karya dirompak atau disalin tanpa kebenaran pemilik hak cipta. Antaranya ialah membuat salinan kepada pelbagai bentuk, sama ada cara menangkap gambar, membuat salinan dengan menggunakan komputer, fotostat, rakaman video, rakaman suara, menaip semula atau diubah kepada bentuk PDF. Kegiatan memuat turun muzik dalam bentuk MP3, bahan-bahan lucah dan fail-fail audio yang lain semakin berleluasa. Apabila sesuatu filem ditayangkan di pawagam, filem-filem tersebut dijadikan sumber utama penyalinan tanpa izin. Seseorang yang menyeludup masuk kamera video ke dalam pawagam merakam filem-filem secara senyap-senyap. Salinan tersebut kurang berkualiti berbanding salinan keluaran rasmi. Walau bagaimanapun, kegiatan berkongsi salinan muzik adalah sah di kebanyakan negara, seperti Kanada dan sesetengah rantau di Eropah, selagi maklumat sedemikian tidak diiklankan atau lagu-lagunya dijual. Di sesetengah negara, orang yang menjual bahan cetak rompak juga menjaja VCD, CD, DVD di tepi jalan, pasar malam dan sebagainya.
Masalah kekurangan penghargaan hak cipta atau paten merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kegiatan cetak rompak berleluasa di Malaysia. Masalah pembelian CD, VCD, DVD cetak rompak bukan disebabkan pembeli kekurangan pengetahuan, tetapi adalah masalah kekurangan kesedaran di kalangan pengguna mengenai harta intelek dan hak cipta. Motif utama pengeluar adalah memaksimakan keuntungan, oleh itu, mereka akan mencari jalan untuk mengeluarkan barang cetak rompak selagi ada permintaan. Maka, untuk mengatasi masalah barang cetak rompak, permahaman gelagat pengguna amat penting.
Menurut sesebuah kajian yang dikaji, didapati bahawa 99.1 % orang setuju bahawa harga yang lebih murah merupakan salah satu sebab mereka membeli VCD, CD, DVD cetak rompak. Pada masa yang sama, seramai 57.3 % tidak bersetuju bahawa kualiti VCD, CD, DVD cetak rompak adalah setanding dengan yang asli. Akan tetapi, mereka masih membeli VCD, CD, DVD cetak rompak. Maka, kajian mendapati bahawa faktor harga merupakan tarikan utama di dalam pembelian VCD, CD, DVD cetak rompakan. Di samping itu, wujudnya hubungan negatif antara tahap pendapatan dengan kuantiti VCD, CD, DVD cetak rompak dibeli.
Dalam usaha menangani masalah VCD, CD, DVD cetak rompak, pemahaman gelagat pengguna ke atas pembelian barang cetak rompak adalah sangat penting. Program-program seperti seminar, pameran dan penerbitan risalah-risalah perlu dijalankan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai harta intelek. Kesedaran ini penting untuk pengguna untuk menukar pemikiran orang ramai supaya menghormati dan mengiktiraf ciptaan orang lain kerana bukan mudah untuk pencipta menghasilkan sesuatu jenama atau produk. Contohnya, ramai orang tidak sedar bahawa menghasilkan sesuatu produk adalah sukar. Tetapi pengguna sewenang-wenangnya membeli bahan cetak rompak tanpa menghargai penat lelah individu yang menghasilkan ciptaan tersebut.
Kesimpulannya, faktor harga dan bukan harga adalah faktor utama mempengaruhi gelagat pembeli untuk membeli VCD, CD, DVD cetak rompak. Faktor harga didapati mempengaruhi pembuatan keputusan pembeli sama ada membeli barang asli atau cetak rompak. Selain itu, tahap pendidikan juga berhubung positif dengan kuantiti pembelian VCD, CD, DVD cetak rompak. Ini bermakna, seseorang yang berpendidikan tinggi juga terlibat dalam pembelian barang cetak rompak. Oleh itu, kekurangan pengetahuan bukan alasan yang kukuh untuk pembelian VCD, CD, DVD cetak rompak.
Disediakan oleh
Chong Wei Ping (205850)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan