Isnin, 9 Ogos 2010

Vandalisme


Jangan! Jangan! Jangan! Dilarang! Dilarang! Dilarang! Di manakah kita dapat melihat perkataan dan simbol-simbol seperti ini? Kita dapat melihat perkataan dan simbol seperti ini di mana-mana tempat di Malaysia seperti perhentian bas. Jangan Meludah, Dilarang Menconteng dan sebagainya. Akan tetapi, untuk apakah semua ini? Hal ini demikian disebabkan kita sentiasa diingatkan dengan perkataan dan simbol ‘larangan’ dan ‘jangan’ yang berada di sekeliling kita agar tidak melanggar undang-undang dan terlibat dengan gejala vandalisme. Manusia kini bersikap individualistik dan mengabaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Oleh  itu, gejala negatif ini masih tidak dapat dibendung kerana tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak.
            Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, vandalisme dapat diinterpretasikan sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persen­dirian.
            Pada era globalisasi ini, kes vandalisme semakin berleluasa dan bermaharajalela di negara kita. Melalui media masa, kita dapat mengetahui kes-kes vandalisme seperti yang dipapar melalui surat khabar dan majalah, didengar melalui gelombang radio, ataupun dilihat melalui televisyen. Tepuklah dada, tanyalah selera. Tidakkah semua pihak risau tentang  gejala vandalisme ini? Masyarakat kini hanya mementingkan diri sendiri tanpa memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca yang membawa kepada gejala vandalisme. Kini, remaja selalu memperuntukkan banyak masa untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka, sama ada di sekolah ataupun di luar. Oleh itu, mereka mudah dipengaruhi dan mengikuti tingkah laku dan sikap rakan sebaya, terutamanya golongan remaja yang mengalami keruntuhan institusi keluarga. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui pepatah berikut, "jika seseorang itu berkawan dengan penjual minyak wangi, maka keharumannya akan dirasainya. Jika dia berkawan dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengenai dirinya juga". Justeru itu, rakan sebaya membawa pengaruh yang penting dalam gejala sosial ini. Tambahan lagi, golongan remaja yang berdarah panas suka melakukan sesuatu yang mencabar. Hal ini demikian disebabkan  mereka  lebih berani untuk melakukan gejala negatif ini apabila bersama rakan sebaya berbanding seorang diri.
Selain itu, ibu bapa juga merupakan punca kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Kelakuan dan sikap ibu bapa merupakan teladan yang dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapa melarang anak mereka untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang tetapi mereka sendiri melakukannya. Contohnya, bapa samseng yang suka merosakkan harta benda awam. Secara tidak langsung akan membawa suatu contoh yang tidak baik bagi anak mereka. Anak-anak akan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Di samping itu, kurang kawalan dan bimbingan oleh ibu bapa juga mengakibatkan golongan remaja terjebak dalam gejala vandalisme, terutamanya berasal daripada keluarga yang tidak sempurna yang ingin menarik perhatian daripada ibu bapa dan masyarakat.
            Seterusnya, sikap apati, individualistik dan materialistik masyarakat turut mendorong berlakunya vandalisme. Masyarakat kini ibarat kera sumbang. Mereka hanya mementingkan soal kebendaan dan kualiti kehidupan. Oleh itu, mereka telah mengabaikan isu-isu sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Menurut kajian, didapati golongan remaja yang melakukan gejala vandalisme seperti menconteng dan merosakkan harta benda awam adalah disebabkan oleh tekanan, sama ada dari segi keluarga, pelajaran atau persahabatan. Mereka ingin melepaskan emosi dan membebaskan diri daripada  keadaan tersebut.
            Langkah drastik yang dapat digunakan untuk mengawal vandalisme ialah penguatkuasaan undang-undang. Tindakan-tindakan yang boleh dilakukan melalui dendaan dan hukuman berat kepada sesiapa yang melakukan gejala vandalisme. Selain itu, pihak berkuasa juga boleh melaksanakan undang-undang baru iaitu mengenakan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti menyapu taman awam dan mencuci tandas awam terhadap pesalah. Perbuatan sedemikian dapat dijadikan sebagai satu teladan kepada masyarakat. Kempen-kempen juga boleh diadakan oleh pihak kerajaan. Kempen kesedaran seperti ‘Anti Vandalisme’dan ‘Jauhi Diri daripada Gejala Vandalisme’ harus dilaksanakan di seluruh negara bagi mengurangkan gejala ini.
Diikuti adalah peranan ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian dan sahsiah remaja. Mereka merupakan orang yang paling dekat dan intim dengan anak-anak. Jadi, bimbingan daripada ibu bapa banyak mempengaruhi kelakuan dan sikap remaja. Mereka juga berperanan dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan menghayati harta benda awam sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa untuk menemani dan mendidik anak-anak mereka. Dengan itu, hubungan antara mereka menjadi rapat dan  kekosongan serta kebosanan tidak berlaku di dalam hati remaja. Ini akan  mengurangkan gejala vandalisme.
            Akhirnya, peranan masyarakat dan pihak sekolah turut merupakan salah satu langkah untuk mengatasi gejala vandalisme. Semua lapisan masyarakat harus bersikap prihatin dan menggembleng tangan untuk menangani masalah tersebut. Masyarakat juga perlu bersikap proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di sekitar mereka. Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja. Pengenalan subjek pendidikan moral dan agama serta sivik terhadap remaja adalah bertujuan untuk mengurangkan gejala vandalisme. Ini memudahkan penerapan nilai-nilai positif kepada golongan belia . Tambahan lagi nilai-nilai ini perlu disuntik dalam sanubari remaja sejak  dari bangku sekolah lagi. Dengan ini, remaja akan menggunakan kemudahan awam dengan berhemah dan  tidak cuba untuk merosakkan harta benda tersebut.
            Kesimpulannya, semua pihak wajarlah berganding bahu untuk membendung gejala ini daripada terus menular demi kesejahteraan negara.

Disediakan Oleh
How Wen Hui (196931)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan