Isnin, 2 Ogos 2010

Gengsterisme


Gengsterisme ialah individual yang terlibat dalam aktiviti jenayah atau social  secara berkumpulan yang membawa kepada penyelewengan tingkah laku dan kerosakan akhlak. Gengsterisme merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja pada masa kini. Ia bukan sahaja menghalang pencapaian pelajar remaja malahan boleh mengganggu perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Gejala ini perlu ditangani kerana akan mempengaruhi pembabitan pelajar dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah  ponteng kelas,kekerasan,ketagihan alkohol dan kes rogol. Sejarah awal gengsterisme bermula dari penghijrahan masyarakat Cina dan India ke Malaya pada abad ke-18 dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya kumpulan geng di Malaysia.
            Punca-punca remaja terlibat dalam gengsterisme termasuklah kegagalan institusi kekeluargaan . Arus pemodenan yang semakin pesat di Malaysia menyebabkan rakyat amat mementingkan peningkatan taraf hidup. Sifat ibu bapa pada era moden ini  lebih cenderung untuk mencari rezeki untuk mengumpul lebih banyak kekayaan dan bekerja di luar rumah, ini menyebabkan remaja terabai.  Oleh itu  remaja telah bergiat aktif dalam aktiviti gengsterisme untuk menarik perhatian ibu bapa mereka  Selain itu , remaja mungkin juga berasal dari keluarga yang suka bertengkar, mabuk, dan judi menyebabkan anak-anak mereka mengalih kepada menyertai gengster. Pengaruh rakan-rakan juga merupakan punca berlakunya gengsterisme . Apabila remaja kekurangan kasih sayang ibu bapa, mereka akan menganggap rakan sebagai orang yang paling rapat dan akan mengikuti tingkah laku rakan. Kesilapan bergaul dengan rakan yang salah akan menyebabkan remaja terkeluar dari kehidupan yang normal malahan  akan menarik mereka menjadi ahli kumpulan gengster. Remaja yang terlibat dalam gengsterisme masing-masing berpegang kepada ideologi kumpulan  iaitu kesetiaan terhadap ahli kumpulan dalam menyelesaikan masalah seperti pergaduhan dan  kewangan.
            Punca lain seperti media massa juga merupakan punca remaja terlibat dalam gengsterisme. Perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan dalam media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi teladan bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana  media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya  pada waktu yang sama ia juga boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah. Kawasan persekitaran dan tempat kediaman yang tidak kondusif  juga merupakan punca berlakunya gengsterisme  Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan yang sikit boleh menyebabkan remaja berasa lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Selain itu, terdapat sesetengah kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gengsterisme. Ketua geng turut memberi kekuatan bergaduh kepada remaja di kawasan tersebut untuk memastikan mereka tidak diganggu oleh geng-geng yang lain.

Kewujudan gengsterisme turut mendatangkan beberapa kesan terhadap masyarakat dan remaja, ini termasuklah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kewujudan kumpulan-kumpulan gengster di sekolah memberi impak negatif kepada para pelajar dengan sering melakukan kegiatan ganas seperti bergaduh, membuli golongan yang lemah, ponteng kelas, mencabar guru dengan pertuturan yang kasar dan lain-lain. Tingkah laku kumpulan-kumpulan ini akan mengganggu proses pembelajaran dan perhatian pelajar yang lain dan melunturkan kualiti pengajaran guru-guru di sekolah. Kegagalan menangani masalah ini boleh menggagalkan usaha mencapai matlamat  pendidikan negara. Kesan yang lain seperti sekolah turut akan dijadikan pusat aktiviti gengsterisme. Penubuhan sekolah adalah bertujuan memberi pendidikan kepada pelajar, sebaliknya telah dijadikan pusat aktiviti gengster.  Ahli-ahli gengster telah menjadikan sekolah sebagai pusat pengambilan ahli yang baru dan kegiatan social yang lain. Ahli-ahli gengster ini mengutip wang perlindungan daripada pelajar lain dan menakutkan mereka yang enggan memberi  kerjasama. Kesan ketiga ialah akan memberi  impak negatif terhadap masyarakat. Gengster-gengster ini berani melakukan pelbagai kegiatan ganas seperti membakar bangunan, merosakkan telefon awam, merogol dan melumba motosikal secara haram. Gejala ini telah membimbangkan ahli masyarakat yang lain untuk keluar dari rumah.
Langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan gejala gengsterisme daripada berleluasa di kalangan remaja. Peranan ibu bapa merupakan antara langkah yang paling utama untuk mengurangkan gengsterisme. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Ibu bapa mestilah mangambil tahu aktiviti yang disertai oleh anak mereka di sekolah dan luar sekolah dan pada waktu yang sama, mengenali rakan  anak  mereka. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka merasai kasih sayang iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan pentadbir sekolah. Langkah yang kedua ialah peranan sekolah. Sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi kemelut gengsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh menganjurkan kem kesedaran untuk mengelakkan mereka daripada terlibat dalam gengsterisme. Kokurikulum juga penting  dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan unit beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru dan pada waktu yang  sama mempertahankan pencapaian akademiknya serta mendisiplinkan pelajar. Langkah lain termasuklah peranan kerajaan. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan mengehadkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan  mampu menyedarkan pelajar tentang bahayanya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme.  Walaupun hukuman penjara tidak boleh menyelesaikan sepenuhnya kes yang berkaitan dengan gengsterisme ,tetapi sekurang-kurangnya hukuman ini boleh dijadikan sebagai salah satu alat kawalan untuk mengurangkan pembabitan pelajar dalam gejala tersebut .
Kesimpulannya, remaja adalah tulang belakang pembangunan ekonomi,sosial dan politik bagi sesebuah negara. Penglibatan semua pihak sama ada kerajaan, ibu bapa, masyarakat, keluarga adalah tanggungjawab yang mesti digalas bersama demi memastikan remaja kini bebas dari  gejala gengsterisme.  Semua pihak haruslah berganding bahu membanteras aktiviti negatif  ini agar  tidak berlarutan dan bertambah serius lagi.



Disediakan oleh 
Cheng Shi Huey (196964)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan