Isnin, 9 Ogos 2010

Penyalahgunaan Dadah


Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu musuh utama di negara kita. Penyalahgunaan dadah adalah penggunaan dadah yang bertentangan dengan kepentingan rawatannya. Manakala, dadah ialah satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani, rohani, dan tingkah laku pengguna apabila digunakan. Penggunaan dadah akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan mabuk, khayal, ketagih serta gangguan tingkah laku. Akan tetapi,  penagih dadah menganggap dadah sebagai satu alat yang mampu membawa perasaan gembira kepada  mereka. Dengan pemikiran ini, penagih dadah akan terus bergantung hidup kepada dadah dan menyebabkan ketagihan. Oleh itu, penagih dadah akan berada dalam keadaan yang susah tanpa dadah.
Bagaimanakah kita boleh mengetahui seseorang itu terlibat dalam dadah? Dari aspek fizikal, seseorang yang terlibat dalam penggunaan dadah akan sentiasa berpeluh, pening kepala, menggigil, penurunan berat badan, mata merah dan ciri-ciri lain. Dari aspek psikologi pula, penagih dadah akan sentiasa berada dalam keadaan resah dan gelisah. Emosi dan perasaan mereka akan terganggu dan menyebabkan sikap mereka berubah secara tiba-tiba. Sebagai contohnya, mereka tidak dapat tidur dengan lena, kelihatan letih, kurang selera, bercakap banyak, menghindari kawan yang tidak terlibat dalam penggunaan dadah dan mengabaikan penampilan diri. Dari aspek perlakuan pula, penagih dadah akan sentiasa ponteng kerja atau sekolah yang seterusnya menyebabkan prestasi kerja ataupun prestasi akademik mereka merosot.
            Antara faktor-faktor penyalahgunaan  dadah adalah termasuk pengaruh rakan sebaya. Sesungguhnya, rakan adalah individu yang paling dekat dan paling mudah untuk mempengaruhi. Bagi remaja yang ingin diterima oleh sesebuah kumpulan, mereka terpaksa mengikuti ajakan rakan-rakan sebaya. Remaja tersebut yang berbuat demikian adalah untuk melindungi diri sendiri supaya tidak dibuli serta diterima oleh kumpulan. Bagi remaja yang minat untuk cuba mengenali pelbagai aktiviti ataupun budaya baru dan tidak tahu membezakan antara gejala yang positif atau negatif, jadi mereka akan mudah terikut-ikut dengan kata dan arahan rakan sebaya tanpa bertimbang. Sikap remaja yang ingin mencuba meyebabkan mereka mudah dipengaruhi sekiranya rakan sebaya mengatakan penggunaan dadah boleh mendatangkan keseronokan.    
Faktor yang seterusnya ialah kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjaga kehidupan dan kebajikan anak-anak. Akan tetapi, masyarakat kini yang bersikap materialistik seperti ibu bapa sanggup bekerja sepanjang hari sehingga mengabaikan perasaan anak-anak untuk kehidupan yang mewah. Kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa akan menyebabkan anak-anak terjebak dengan aktiviti yang negatif. Sebagai contoh, remaja mudah mempercayai  individu lain yang sentiasa bersama mereka walaupun individu tersebut mempunyai niat jahat.  Perasaan dan emosi  mereka akan menjadi tidak stabil apabila menghadapi sebarang masalah atau kesusahan. Ini adalah kerana anak-anak tiada dorongan daripada ibu bapa, remaja akan kehilangan yakin diri dan mudah melakukan kesalahan seperti ponteng sekolah dan menglibatkan diri dalam aktiviti yang negatif supaya menarik perhatian daripada ibu bapa.
Penyalahgunaan dadah yang berlebihan akan mendatangkan beberapa kesan negatif. Antara kesannya termasuk masalah kesihatan. Ini disebabkan oleh dadah merupakan sejenis bahan yang beracun. Penggunaan dadah dalam jangka masa panjang atau berlebihan dos boleh menjejaskan fungsi organ dalam badan serta membawa kepada maut. Melalui jarum suntikan, hasil-hasil racun dadah akan disuntik ke dalam sel-sel badan dan bersebar melalui darah. Hasil-hasil racun tersebut akan berkumpul dan merosakkan organ dalam badan manusia. Sekiranya hati dirosakkan, maka fungsi hati akan terjejas dan akhirnya akan menyebabkan kesihatan badan remaja berada dalam keadaan yang amat berbahaya. Selain itu, penyalahgunaan dadah juga akan merosakkan sistem paru-paru, tulang dan sistem imun.  Kemautan akan berlaku apabila berlakunya kekurangan bekalan darah ke otak akan menyebabkan koma sekiranya penggunaan dadah yang melampau banyak.
Kesan yang seterusnya adalah  kesan sosial. Kebanyakkan penagih yang terlibat dengan dadah tidak berminat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap kerjaya, keluarga dan masyarakat. Ini akan menyebabkan prestasi atau akademik merosot dan juga menyebabkan kehancuran dalam keluarga. Sekiranya penagih dadah tidak mendapat bekalan dadah, mereka akan mengalami ketagihan dadah, hidung berair, perut berasa sakit dan pedih. Jika perasaan tersebut tidak dapat diatasi, kemungkinan besar penagih akan bertindak ganas dan hilang kawalan emosi. Dengan ini, penagih akan mencuri, merompak ataupun memukul ibu bapanya semata-mata untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah. Jadi, penyalahgunaan dadah boleh meningkatkan kes-kes jenayah.
Beberapa langkah hendaklah diadakan untuk mengatasi masalah tersebut. Langkah pertama, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam menjaga serta mendidik anak-anak. Kesibukan ibu bapa dalam perkerjaan mengakibatkan anak-anak itu terbiar dan bebas dari kawalan ibu bapa. Untuk mengelakan anak-anak diri dari terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ibu bapa harus memperhatikan setiap pergerakan anak-anak mereka. dan hendaklah sentiasa  mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka yang digaul adalah mempunyai kedudukan moral yang baik atau tidak. Melalui kasih sayang yang secukupnya, anak-anak tidak akan terasa tersisih sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan antara baik dan buruk. Tambahan lagi, ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak-anak.
           Di samping itu, pihak media massa juga dapat menyumbang dalam membanteras masalah penyalahgunaan dadah ini. Sebagai contoh, pihak media massa boleh menyiarkan berita atau cerita yang boleh membawa keinsafan kepada remaja supaya mereka tidak melibatkan diri dalam penggunaaan dadah. Hal ini kerana yang baik kita dijadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Segala rancangan televisyen, dan bahan cetak yang mengandungi adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja perlu ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan atau diterbitkan. Selain itu, pihak media massa boleh mengajurkan kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai. Misalnya, kempen-kempen kesedaran seperti 'Kempen Anti-Dadah', 'Belia Benci Dadah' boleh dianjurkan di peringkat sekolah ataupun di kalangan masyarakat.  Di samping itu, ceramah-ceramah tentang keburukan dadah juga boleh diadakan.

Kesimpulannya, usaha dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah perlulah dilaksanakan oleh semua pihak dalam masyarakat. Saya berharap semua pihak boleh bertindak secara bersama untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan hidup.

Disediakan oleh 
Wong Kong May (206144)


Vandalisme


Jangan! Jangan! Jangan! Dilarang! Dilarang! Dilarang! Di manakah kita dapat melihat perkataan dan simbol-simbol seperti ini? Kita dapat melihat perkataan dan simbol seperti ini di mana-mana tempat di Malaysia seperti perhentian bas. Jangan Meludah, Dilarang Menconteng dan sebagainya. Akan tetapi, untuk apakah semua ini? Hal ini demikian disebabkan kita sentiasa diingatkan dengan perkataan dan simbol ‘larangan’ dan ‘jangan’ yang berada di sekeliling kita agar tidak melanggar undang-undang dan terlibat dengan gejala vandalisme. Manusia kini bersikap individualistik dan mengabaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Oleh  itu, gejala negatif ini masih tidak dapat dibendung kerana tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak.
            Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, vandalisme dapat diinterpretasikan sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persen­dirian.
            Pada era globalisasi ini, kes vandalisme semakin berleluasa dan bermaharajalela di negara kita. Melalui media masa, kita dapat mengetahui kes-kes vandalisme seperti yang dipapar melalui surat khabar dan majalah, didengar melalui gelombang radio, ataupun dilihat melalui televisyen. Tepuklah dada, tanyalah selera. Tidakkah semua pihak risau tentang  gejala vandalisme ini? Masyarakat kini hanya mementingkan diri sendiri tanpa memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu punca yang membawa kepada gejala vandalisme. Kini, remaja selalu memperuntukkan banyak masa untuk bergaul dengan rakan sebaya mereka, sama ada di sekolah ataupun di luar. Oleh itu, mereka mudah dipengaruhi dan mengikuti tingkah laku dan sikap rakan sebaya, terutamanya golongan remaja yang mengalami keruntuhan institusi keluarga. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui pepatah berikut, "jika seseorang itu berkawan dengan penjual minyak wangi, maka keharumannya akan dirasainya. Jika dia berkawan dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengenai dirinya juga". Justeru itu, rakan sebaya membawa pengaruh yang penting dalam gejala sosial ini. Tambahan lagi, golongan remaja yang berdarah panas suka melakukan sesuatu yang mencabar. Hal ini demikian disebabkan  mereka  lebih berani untuk melakukan gejala negatif ini apabila bersama rakan sebaya berbanding seorang diri.
Selain itu, ibu bapa juga merupakan punca kepada sifat vandalisme dalam kalangan remaja. Kelakuan dan sikap ibu bapa merupakan teladan yang dicontohi oleh anak-anak mereka. Ibu bapa melarang anak mereka untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang tetapi mereka sendiri melakukannya. Contohnya, bapa samseng yang suka merosakkan harta benda awam. Secara tidak langsung akan membawa suatu contoh yang tidak baik bagi anak mereka. Anak-anak akan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya. Di samping itu, kurang kawalan dan bimbingan oleh ibu bapa juga mengakibatkan golongan remaja terjebak dalam gejala vandalisme, terutamanya berasal daripada keluarga yang tidak sempurna yang ingin menarik perhatian daripada ibu bapa dan masyarakat.
            Seterusnya, sikap apati, individualistik dan materialistik masyarakat turut mendorong berlakunya vandalisme. Masyarakat kini ibarat kera sumbang. Mereka hanya mementingkan soal kebendaan dan kualiti kehidupan. Oleh itu, mereka telah mengabaikan isu-isu sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Menurut kajian, didapati golongan remaja yang melakukan gejala vandalisme seperti menconteng dan merosakkan harta benda awam adalah disebabkan oleh tekanan, sama ada dari segi keluarga, pelajaran atau persahabatan. Mereka ingin melepaskan emosi dan membebaskan diri daripada  keadaan tersebut.
            Langkah drastik yang dapat digunakan untuk mengawal vandalisme ialah penguatkuasaan undang-undang. Tindakan-tindakan yang boleh dilakukan melalui dendaan dan hukuman berat kepada sesiapa yang melakukan gejala vandalisme. Selain itu, pihak berkuasa juga boleh melaksanakan undang-undang baru iaitu mengenakan kerja-kerja khidmat masyarakat seperti menyapu taman awam dan mencuci tandas awam terhadap pesalah. Perbuatan sedemikian dapat dijadikan sebagai satu teladan kepada masyarakat. Kempen-kempen juga boleh diadakan oleh pihak kerajaan. Kempen kesedaran seperti ‘Anti Vandalisme’dan ‘Jauhi Diri daripada Gejala Vandalisme’ harus dilaksanakan di seluruh negara bagi mengurangkan gejala ini.
Diikuti adalah peranan ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian dan sahsiah remaja. Mereka merupakan orang yang paling dekat dan intim dengan anak-anak. Jadi, bimbingan daripada ibu bapa banyak mempengaruhi kelakuan dan sikap remaja. Mereka juga berperanan dalam memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan menghayati harta benda awam sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa harus meluangkan lebih banyak masa untuk menemani dan mendidik anak-anak mereka. Dengan itu, hubungan antara mereka menjadi rapat dan  kekosongan serta kebosanan tidak berlaku di dalam hati remaja. Ini akan  mengurangkan gejala vandalisme.
            Akhirnya, peranan masyarakat dan pihak sekolah turut merupakan salah satu langkah untuk mengatasi gejala vandalisme. Semua lapisan masyarakat harus bersikap prihatin dan menggembleng tangan untuk menangani masalah tersebut. Masyarakat juga perlu bersikap proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di sekitar mereka. Di samping itu, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja. Pengenalan subjek pendidikan moral dan agama serta sivik terhadap remaja adalah bertujuan untuk mengurangkan gejala vandalisme. Ini memudahkan penerapan nilai-nilai positif kepada golongan belia . Tambahan lagi nilai-nilai ini perlu disuntik dalam sanubari remaja sejak  dari bangku sekolah lagi. Dengan ini, remaja akan menggunakan kemudahan awam dengan berhemah dan  tidak cuba untuk merosakkan harta benda tersebut.
            Kesimpulannya, semua pihak wajarlah berganding bahu untuk membendung gejala ini daripada terus menular demi kesejahteraan negara.

Disediakan Oleh
How Wen Hui (196931)

Rasuah


Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan  undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia, terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta dan menerima rasuah, menawar atau memberi rasuah, membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan jawatan atau kedudukan. Gejala ini akan membawa impak-impak negatif kepada negara terutamanya maruah negara akan terjejas.
Gejala masalah rasuah ini berlaku disebabkan oleh punca-punca tertentu. Antara punca terutamanya ialah kekurangan iman dan takwa. Perkara ini akan terjadi apabila seseorang itu kurang menyertai kelas agama atau tidak memahami ajaran agamanya dengan cara yang betul. Selain itu, keinginan kehidupan mewah juga akan mempengaruhi iman seseorang itu untuk menerima rasuah. Ini disebabkan gejala rasuah merupakan kerja yang paling senang untuk mendapatkan wang. Sikap yang tamak dan ingin cepat kaya ini telah membangkitkan ‘semangat’ mereka untuk merasuah atau menerima rasuah. Semua gejala rasuah yang tidak bermoral ini akan terus berlaku jika seseorang itu masih tidak menerima atau memahami ajaran agama atau moral dengan secukupnya.
Di samping itu, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang tidak sistematik juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah. Kekurangannya penyeliaan yang berdisiplin adalah salah satu punca kelemahan kepimpinan. Tiada pemantauan antara semasa ke semasa apabila operasi sedang berjalan akan menyebabkan pekerja di syarikat lembap semasa menjalankan tugas dan juga akan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Oleh itu, kegiatan rasuah di negara kita semakin berleluasa. Tambahan pula, sosial dan budaya di sesebuah negara juga akan menyebabkan gejala rasuah berlaku. Sebagai contoh, Malaysia merupakan sebuah negara yang majmuk, penduduk di Negara ini telah mengamalkan tradisi memberi hadiah seperti wang ataupun benda-benda yang berharga khususnya pada hari kebesaran seperti hari perayaan, majlis hari jadi dan hari perkahwinan. Sosial dan budaya ini akan menyebabkan orang lain salah faham tentang tradisi tersebut dan menggunakannya sebagai satu masa yang sangat sesuai untuk merasuah.
Punca ketiga yang paling ketara tentang gejala rasuah sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masalah rasuah ini akan terus bermaharajalela jika kerajaan kita masih tidak mengambil berat tentang perkara ini. Kerajaan yang tidak memiliki satu sistem yang telus khususnya perlumbaan untuk mendapatkan tender akan  menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan untuk menawar rasuah. Perbuatan ini tidak adil dan akan menyebabkan pertengkaran antara satu sama lain. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak seimbang dengan pembangunan kerohanian juga akan menyebabkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh akan mengakibatkan pengaliran wang meningkat. Oleh itu, terdapat semakin banyak pihak yang terlibat dalam gejala sosial ini kerana cara ini merupakan cara yang paling mudah dan senang untuk mendapat wang.
Jelaslah fenomena sosial ini semakin berleluasan dan juga membawa pelbagai implikasi kepada masyarakat. Maka, langkah yang efektif harus dijalankan dengan secepat mungkin supaya implikasi yang terjadi tidak akan membawa kesan negatif yang lebih besar kepada masyarakat. Antara langkahnya ialah kerajaan haruslah menerapkan keburukan rasuah ke dalam silibus pendidikan pelajar. Isu-isu semasa terutamanya kes rasuah haruslah sentiasa dipeka oleh pelajar dan memahami akan keburukannya supaya tidak akan mengulangi masalah sosial ini. Cikgu-cikgu di sekolah juga bertanggungjawab untuk mengajar dan membantu pelajar untuk memahami masalah rasuah dengan lebih jelas. Kelas agama atau kelas moral haruslah sentiasa mengadakan kempen kesedaran tentang keburukan rasuah dari semasa ke semasa supaya usaha membanteras gejala sosial ini tidak akan terhenti. Selain itu, semua pihak termasuk ibu bapa mahupun saudara mara haruslah menjadi teladan yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti amanah dan tidak mudah dipengaruhi oleh sikap materialisme yang sering dapat dilihat pada remaja terkini.
Langkah yang kedua pula ialah kerajaan haruslah menanam nilai-nilai murni ke atas pekerja awam terutamanya pegawai-pegawai kerajaan. Kursus dan latihan yang berdisiplin haruslah sering dianjurkan oleh kerajaan dan pihak swasta serta mengwajibkan semua pekerja mengambil bahagian. Hukuman akibat rasuah juga harus didedahkan kepada semua orang dengan jelas. Langkah ini boleh menjelaskan kesan-kesan rasuah kepada masyarakat dan pihak-pihak yang berkaitan akan menyedari akan keburukannya. Selain itu, kursus dan latihan juga dapat menaikkan potensi mereka semasa menjalankan tugasan mereka. Kerajaan atau pihak swasta juga boleh menggalakkan pegawai mereka supaya berpegang teguh kepada agama masing-masing semasa bekerja. Tindakan ini akan memperingatkan pegawai supaya tidak terlibat dalam gejala rasuah walaupun sesekali sahaja.
Langkah efektif yang ketiga pula ialah menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan haruslah lebih tegas dalam menangani masalah rasuah ini terutamanya mengenakan hukuman yang setimpalnya tanpa mengira ketinggian jawatan pegawai tersebut. Badan Pencegah Rasuah Malaysia haruslah membuat pemeriksaan terhadap syarikat-syarikat atau badan kerajaan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan kerja dan masalah rasuah. Semua perkara dan proses haruslah dijalani dengan adil supaya tidak ada perselisihan faham akan berlaku. Hukuman harus diukur berdasarkan keberatan jenayah tersebut. Selain itu, hukuman berat seperti penjara atau denda kompaun harus dipertikaikan lagi. Kerajaan harus memberatkan hukuman lagi supaya pegawai-pegawai akan berfikir dulu sebelum melakukan kesalahan rasuah. Langkah ini juga boleh mengingatkan pegawai lain daripada melakukan kesalahan ini lagi.
Kesimpulannya, gejala sosial seperti rasuah yang semakin bermaharajalele di negara kita dan juga telah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat seperti penindasan golongan miskin dan ketidakadilan. Ini akan menjatuhkan maruah negara dan kepercayaan antara negara dengan negara lain juga akan terjejas. Di samping itu, bilangan kes jenayah juga akan meningkat secara mendadak. Semua pihak berkenaan seperti kerajaan dan pihak swasta harus mempertimbangkan masalah ini dan melaksanakan langkah yang efektif untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin supaya gejala ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum.

Disediakan oleh
Lee Boon Tiong (206003)
 

Masalah Remaja Lari dari Rumah


Sejak belakangan ini, masalah remaja lari dari rumah semakin gawat. Setiap hari kita membuka lembaran surat khabar mestilah dapat membaca berita tentang remaja lari dari rumah. Fenomena ini sangat dirisaukan oleh seluruh masyarakat kerana remaja merupakan tiang dan harapan negara kita. Jikalau negara kita mempunyai remaja begini maka masa depan negara akan terjejas. Oleh itu, faktor-faktor yang menyebabkan masalah remaja lari dari rumah perlu dikenal pasti dengan segara dan mengorak langkah yang efektif untuk mengatasinya.
Punca utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah adalah kurang perhatian daripada ibu bapa. Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan remaja. Apabila mereka menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi maka mereka akan meluahkan masalah tersebut dengan ibu bapanya untuk mencari jalan penyelesaian. Walau bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa kini mementingkan kemewahan hidup akan sentiasa sibuk dalam kerjaya. Secara tidak langsung, mereka telah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk memelihara dan membantu anaknya dalam mengatasi masalah. Akibatnya, remaja akan berasa mereka tersisih  dan mereka akan mencari hiburan dan ketenangan di luar rumah sehingga mereka enggan balik ke rumah yang tidak mempunyai kasih sayang.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu punca remaja lari dari rumah. Pemikiran remaja belum matang menyebabkan mereka tidak dapat membezakan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu, mereka akan meletakkan kepercayaan yang sepenuhnya kepada rakan. Apabila mereka berlaku pertelingkahan dengan ibu bapanya, mereka akan meluahkan perasaan tidak puas hati dengan rakannya. Rakan yang buruk akan mengajar mereka lari dari rumah untuk mencari keseronokan di luar untuk melepaskan ketidak puasan mereka.
Kekurangan pendidikan agama dan moral juga menyebabkan remaja lari dari rumah. Seseorang yang tidak mempunyai pendidikan agama dan moral yang kukuh maka ia tidak akan berfikir rasional semasa membuat sesuatu keputusan. Mereka akan sentiasa menganggap masyarakat ini tidak adil terhadap mereka sehingga mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik atau buruk. Ibu bapa yang sibuk dalam kerjaya menyebabkan mereka telah melupakan tanggungjawab untuk mendedahkan pendidikan agama kepada anaknya. Hal ini telah menyebabkan anaknya tidak mempunyai jiwa dan fikiran yang matang untuk menghadapi masalah. Oleh itu, apabila rakannya mengajak mereka lari dari rumah untuk mencari hiburan yang lebih seronok di luar rumah untuk melepaskan tekanan maka mereka akan terikutnya.
       Selain itu, pengaruh media massa juga perlu bertanggungjawab dalam masalah remaja lari dari rumah. Kini, kebanyakan media massa yang tanpa sempadan telah menyebabkan wayang-wayang dan drama-drama barat memasuki pasaran tempatan kita. Watak dalam drama dan wayang barat selalu memupuk kebebasan diri sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan remaja kita dipengaruhi oleh tindak-tanduk mereka. Oleh itu, mereka akan belajar daripada drama atau wayang yang ditonton dengan melarikan diri dari rumah kerana mereka menganggap tindakan tersebut merupakan suatu lambangan yang hebat dan bangga.
Untuk mengatasi masalah remaja lari dari rumah, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam dunia remaja kerana segala tindakan ibu bapa akan menjadi teladan kepada anaknya. Oleh itu, ibu bapa yang sentiasa sibuk dalam pekerjaan dan jarang berada di rumah akan menyebabkan anaknya belajar  tindakannya seperti berlepak-lepak sampai larut malam sehingga enggan balik rumah. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada anaknya seperti sentiasa berada dalam rumah, menemani anaknya dan bersama-sama mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka. Seterusnya, remaja akan berasa dalam rumahnya mempunyai kasih sayang dan mereka akan sentiasa berada dalam rumah dan kurang berfoya-foya di luar rumah.
Selain itu, pendidikan agama dan moral juga dapat mengatasi masalah remaja lari dari rumah. Pendidikan agama dan moral merupakan senjata yang paling kukuh untuk menentang segala masalah yang dihadapi oleh manusia kerana pendidikan agama dan moral mengajar kita membuat perkara yang baik dan menghindari diri daripada perkara yang tidak bermanfaat. Oleh itu, remaja yang mempunyai pendidikan agama dan moral yang tinggi maka mereka tidak akan mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya seperti melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Kesimpulannya, masalah remaja lari dari rumah akan membawa kesan sampingan kepada masyarakat dan negara kita. Oleh itu, semua pihak yang berkaitan dan berkuasa perlu bekerjasama untuk menangani masalah ini agar masa depan negara kita dapat terjamin dan mempunyai imej yang baik dalam sudut pandangan antarabangsa. Seterusnya, negara kita akan menjadi sebuah negara yang kuat dan maju kerana mempunyai tiang negara yang berbakat.

Disediakan Oleh
Tee Sheau Chien (206035)

Masalah Penggunaan Aplikasi Rangkaian Sosial


Internet merupakan satu penemuan yang membawa perubahan besar kepada kehidupan manusia. Kepelbagaian fungsi internet bukan sahaja membawa kemudahan kepada kehidupan manusia malah merupakan satu alat yang menghubungkan seluruh dunia tanpa mengira sempadan. Sejak kebelangkan ini, aplikasi rangkaian sosial amat popular di kalangan masyarakat. Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah menjadi satu budaya dan santapan harian di kalangan pengguna internet. Antara aplikasi rangkaian sosial yang terkenal di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, Myspace dan sebagainya. Akan tetapi, penggunaan internet seperti aplikasi rangkaian sosial tanpa terkawal boleh menyebabkan ketimbulan masalah-masalah sosial yang membimbangkan.
            Perkhidmatan rangkaian sosial biasanya akan menyediakan ruang bagi pengguna untuk mengisi maklumat peribadi seperti nama, alamat, nombor telefon, ataupun hobi. Perkhidmatan ini adalah bertujuan bagi memudahkan pengguna untuk berkenalan dengan pengguna rangkaian sosial yang lain. Akan tetapi, perkhidmatan ini telah mendedahkan maklumat peribadi kepada risiko kecurian maklumat. Oleh itu, perkhidmatan rangkaian sosial menjadi sasaran utama bagi kumpulan jenayah kerana ia telah menyimpan maklumat peribadi yang bernilai. Menurut sumber yang dinyatakan oleh media, setiap maklumat peribadi dikatakan boleh dijual di pasaran gelap dengan harga AS$1 iaitu kira-kira RM3.80. Risiko kecurian maklumat ini menyebabkan kebebasan peribadi pengguna aplikasi rangkaian sosial tergugat. Selain itu, maklumat peribadi pengguna juga boleh dicuri dan disalahguna oleh kumpulan jenayah untuk tujuan lain seperti memeras ugut melalui telefon dan sebagainya.
            Selain itu, penipuan identiti sering berlaku di aplikasi rangkain sosial. Terdapat sesetengah golongan pengguna suka menyamar dengan menggunakan maklumat peribadi palsu dan foto orang lain untuk melakukan penipuan dari segi kewangan ataupun hubungan seks. Ini telah menyebabkan masalah sosial menimbul seperti membunuh, merogol, penipuan dan lain-lain. Masalah sosial tersebut boleh dirujuk kepada satu kes jenayah yang berlaku pada seorang gadis yang berbangsa British, berumur 17 tahun telah dirogol dan dibunuh oleh seorang bekas perogol yang menyamar sebagai seorang lelaki tampan di atas Facebook.
            Aplikasi rangkaian sosial juga telah menyediakan satu perkhidmatan bagi kemudahan pengguna untuk berkongsi video dengan pengguna lain. Akan tetapi, kemudahan ini telah disalahgunakan dan menimbulkan kesan sampingan. Misalnya, video yang mengandungi unsur-unsur negatif seperti keganasan dan lucah telah dimuat naik dan disebar luas di aplikasi rangkaian sosial. Oleh kerana kebanyakan aplikasi rangkaian sosial tidak memiliki kaedah yang megesah umur sebenar setiap penggunanya, jadi video-video tersebut boleh membawa impak kepada minda golongan pengguna yang belum mencukupi umur ke atas 18 tahun. Golongan pengguna tersebut tanpa di bawah kawalan ibu bapa boleh membawa kepada masalah mencontohi video-video yang berunsur negatif. Contohnya, sejak kebelakangan ini, video-video yang kes buli sering dimuat naik dan disebar luas luas di aplikasi rangkaian sosial. Video-video tersebut telah mendapat perhatian tinggi daripada kalangan masyarakat. Keadaan ini amat membimbangkan. Remaja-remaja yang masih berfikiran mentah mungkin akan mencontohi perbuatan video-video tersebut untuk memenuhi kepuasan sifat ingin tahu mereka.
            Di samping itu, aplikasi rangkaian sosial juga membenarkan pengguna meninggalkan komen pada catatan dan gambar orang lain. Namun, terdapat segolongan pengguna telah menyalahgunakan kemudahan ini untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral seperti menjatuhkan maruah orang lain, mencaci, memfitnah serta mengumpat orang lain. Perbuatan yang tidak bermoral ini bukan sahaja akan menjadi satu teladan atau budaya negatif kepada generasi muda malahan akan member impak dalam kalangan masyarakat.
            Kegilaan pengguna internet terhadap aplikasi rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang amat membimbangkan. Aplikasi rangkaian sosial juga telah menyumbangkan masalah disiplin di kalangan generasi muda yang menghabiskan masa di hadapan komputer sehingga ketagihan internet. Situasi ini akan membawa masalah kesihatan fizikal dan mental seperti kesihatan mata, bersikap panas baran, postur badan disebabkan kedudukan yang tidak ergonomik dan sebagainya.
            Justeru, langkah-langkah untuk mengatasi serta mengurangkan masalah sosial yang ditimbul daripada penggunaan internet seperti aplikasi rangkaian sosial. Pengguna mestilah sentiasa peka ketika menggunakan aplikasi rangkaian sosial seperti tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor telefon, nombor kad pengenalan, alamat penuh, kata laluan, maklumat kewangan dan sebagainya.
            Selain itu, pengguna juga mesti berhati-hati ketika memilih dan menerima kenalan yang ditemui dalam rangkaian sosial kerana rangkaian sosial terdapat banyak pengguna yang menggunakan identiti palsu. Ini boleh membantu pengguna daripada terdedah kepada kes jenayah seperti rogol, penipuan dan sebagainya.
            Di samping itu, pengguna juga digalakkan untuk menggunakan fungsi privasi yang telah disediakan oleh rangkaian sosial. Ini boleh membantu untuk mengawal kumpulan tertentu daripada melihat maklumat peribadi dan gambar-gambar milik pengguna yang berpotensi menjadi bahan ugutan. Oleh itu, pengguna perlu berhati-hati ketika meletakkan mesej dan gambar yang boleh menunjukkan lokasi sebenar pengguna.
            Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mengatasi dan mengawal masalah-masalah yang ditimbul dari aplikasi rangkaian sosial. Sebagai contoh, ibu bapa mesti sentiasa memberi perhatian kepada anak-anak supaya anak-anak tidak ketagihan atau menyalahguna kemudahan internet. Ibu bapa perlu memberi bimbingan dan panduan yang bersesuaian kepada anak-anak supaya anak-anak boleh lebih berdisiplin dan berhati-hati memilih ketika melayari internet seperti aplikasi rangkaian sosial.
            Pihak atasan rangkaian sosial juga perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan dalam mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh aplikasi rangkaian sosial. Misalnya, sistem penapisan pengguna dan maklumat perlu diperkuatkan bagi mengelakkan kecurian maklumat dan penipuan. Video-video dan gambar-gambar  yang berunsur negatif juga perlu ditapiskan dan mengehadkan umur pengguna untuk mengelakkan minda remaja terjejas. Selain itu, pihak atasan aplikasi rangkaian sosial juga boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut seperti mengawal penyebaran maklumat yang berunsur negatif .
            Kesimpulannya, aplikasi rangkaian sosial telah mendatangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Ketimbulan masalah sosial bukan disebabkan oleh masalah pengurusan pihak atasan aplikasi rangkaian sosial ataupun kerajaan, masyarakat juga perlu bertanggungjawab ke atas sebab-sebab ketimbulan masalah sosial daripada aplikasi rangkaian sosial. Kalangan masyarakat perlu sentiasa peka dan berdisiplin ketika menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial. Kerajaan juga perlu bertindak tegas dalam menangani masalah tersebut. Keengganan bekerjasama masyarakat dan kerajaan dalam menangani masalah sosial yang ditimbul oleh penyalahgunaan aplikasi rangkaian sosial bukan sahaja akan membawa kepada kehancuran masa depan generasi muda malah akan membawa kemunduran kepada sesebuah negara.

Disediakan oleh
Yeu Chai Fen (196951)





Masalah Pembuangan Bayi Di Malaysia


Pada zaman yang kian meningkat ini, negara kita telah mengalami pelbagai perkembangan dari segi pembangunan, teknologi dan lain-lain. Namun begitu, dari segi akhlak dan moral, negara kita masih berada di tahap yang agar merosot. Saban hari, masalah sosial seperti pembuangan bayi semakin meningkat sehingga berita ini sering dipaparkan di surat khabar, radio mahupun di media elektronik. Perkara ini telah membimbangkan pelbagai pihak. Bagi mengelakkan peratusan perkara ini terus meningkat ke tahap yang membimbangkan, punca-punca yang menyebabkan berlakunya perkara ini haruslah dikenalpasti dan pelbagai langkah yang sewajarnya perlu diambil dengan segera.
Punca yang menyebabkan berlakunya kes pembuangan bayi ialah diri sendiri seseorang remaja dan kemajuan teknologi. Kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang akan memberi pendedahan seks dan membekalkan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja. Remaja yang berumur dalam lingkungan 13 hingga 18 tahun mudah terpengaruh dengan perkara yang berlaku di sisi mereka. Penayangan filem berunsur seks mudah mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah. Apabila perkara ini berlaku, mereka akan melarikan tanggungjawab mereka dengan membuangkan bayi tersebut di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
Seterusnya, punca yang menyebabkan berlakunya masalah pembuangan bayi ialah kekurangan perhatian daripada ibu bapa. Setahu kita, kini kebanyakkan ibu bapa akan bekerja keras dari pagi hingga malam demi membiayai kos hidup yang semakin tinggi. Mereka tidak mempunyai masa yang lapang untuk meluangkan bersama anak mereka. Mereka juga tidak mengetahui segala gerak-geri  anak mereka. Anak mereka yang kekurangan kasih sayang akan meluangkan masa mereka dengan sahabat karib mereka. Segala perangai akan diikut tanpa membezakan kebaikan dan keburukan.
Punca seterusnya ialah kelemahan agama dan kepercayaan. Dalam masyarakat yang maju ini, kebanyakkan rakyat menganggapkan bahawa agama dan kepercayaan merupakan peralatan dalam kehidupan mereka. Mereka tidak lagi mempercayai sebarang dosa, pahala ataupun balasan. Meraka hanya memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri. Disebabkan pemikiran yang pentingkan diri sendiri, kes pembuangan bayi telah meningkat dari hari ke hari.
Langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi ialah kerajaan perlulah mengadakan kempen kesedaran. Dengan mengadakan kempen kesedaran kepada lapisan remaja, informasi pendidikan seks akan dididikan kepada mereka. Apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan mengenai perkara tersebut,  mereka akan menghindari diri sendiri dari kes tersebut. Peranan media massa juga memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Media massa juga berperanan menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen yang dilaksanakan. Pihak media massa hendaklah menyekat program-program hiburan yang boleh merosakkan akhlak remaja seperti filem-filem yang mengandungi adegan-adegan lucah yang boleh menyebabkan kadar gejala sosial semakin meningkat seterusnya meningkatkan lagi kadar pembuangan bayi.
Di samping itu, kerajaan haruslah menguatkan kuasa undang-undang kepada  semua rakyat. Jika seseorang didapati membuangkan bayi, hukuman yang berat akan dikenakan terhadap mereka seperti rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code iaitu memasuki penjara selama 20 tahun. Selain itu, kerajaan juga boleh menubuhkan persatuan kebajikan untuk membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja.

Disediakan oleh

Phoon Lee Yong (206068)